Wednesday, December 23, 2009

KEPUTUSAN PMR 2009


Pada hari ini, 24 Disember 2009, Tuan Pengetua telah menumumkan keputusan PMR 2009. Daripada 107 calon yang mengambil peperiksaan tersebut 85 orang (79.43%) mendapat 8A, 17 orang 7A (15.89%) dan 5 orang 6A (4.68%). Gred purata keseluruhan 1.03. Berdasarkan keputusan ini, peratusan pelajar yang mendapat A dalam semua matapelajaran menunjukkan peningkatan sebanyak 5 %. Keputusan penuh pencapaian gred A mengikut mata pelajaran adalah seperti berikut:

Bahasa Melayu: 100%
Bahasa Inggeris: 95.3%
Matematik: 98.1%
Sains: 98.1%
Sejarah: 94.4%
Pendidikan Islam: 89.7%
Geografi: 99.1%
Kemahiran Hidup: 100%.

Blog Tentang Bintang ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat semua guru, para pelajar, ibu bapa, bekas pelajar (STAROBA) atas kerjasam ayng telah diberikan dalam membantu menaikkan keputusan sekolah. Tahniah, semoga keputusan akan dapat ditingkatkan pada masa-masa akan datang.

Thursday, December 17, 2009

BENGKEL ADD MATH DAN PROGRAM EASY MATH

Panitia add math sememangnya ditunjangi oleh guru-guru yang berdedikasi yang diketuai oleh Puan Hajah Fuziah, Cik Zuraida dan Encik Iqbal Firdaus. Buktinya, walaupun cuti sekolah mereka bertiga sanggup mengorbankan masa untuk mengadakan perkampungan matematik tambahan untuk calon-calon SPM 2010 pada 13-16 Disember 2009. Seramai 118 pelajar Tingkatan 4 telah hadir selama 4 hari untuk mengikuti program bersama guru-guru matematik tambahan. Objektif utama program adalah untuk mempersiapkan pelajar dengan silibus dan perancangan 2010.

Program ini tidak tamat di situ sahaja. Seterusnya pada 16-19 Disember 2009 para pelajar Tingkatan 4 telah dihantar ke Sekolah Menengah Sains Teleuk Intan (SEMESTI) untuk mengikuti Program EasyMath selama 4 hari.Program tersebut dianjurkan oleh SEMESTI dengan kerjasama pakar-pakar matematik terkenal Malaysia. ianya bukan sahaja terbuka kepada pelajar SEMESTI, namun dibuka penyertaan kepada semua pelajar di Malaysia.

Alhamdulillah, masa cuti para pelajardapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan adanya program-program sebegini. Pelajar didedahkan dengan persediaan fizikal dan mental untuk menghadapi sesi 2010 yang sememangnya mencabar. Semoga usaha murni ini akan terus berpanjangan dan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar.

Monday, December 7, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU USTAZAH BETTY




Seorang warga pendidik yang baru setahun menyertai keluarga besar STAR, Ustazah Noor Betty Azura bt Mohd Radzi telah selamat dijabkabulkan bersama pasangannya, Encik Ismail di Taman Seri Cemerlang, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman. Satu rombongan guru dan pekerja seramai 30 orang telah meluankan masa meraikan majlis bersejarah tersebut jauh nun di negeri Jelapang padi. Ustazah Nor Betty kelihatan ceria dan bahagia sewaktu berlangsungnya majlis persandingan beliau dan pasangannya.

Ustazah Noor Betty merupakan guru Pendidikan Islam serta Literasi Komputer STAR. Blog Tentang Bintang serta seluruh warga STAR mengucapkan selamat menempuhi alam berumahtangga buat Ustazah Betty, semoga ikatan suci yang dibina akan membawa ke syurga dan kekal bahagia sehingga hujung usia. Selamat Pengantin baru!!

TASK FORCE



Pada 31 November dan 1 Disember 2009, telah berlangsung Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang terakhir. Program sepanjang dua hari tersebut telah dihadiri oleh guru-guru walaupun masih dalam mood meraikan sambutan Aidiladha. Namun begitu, program ini agak kurang mencapai objektifnya kerana ramai guru tidak hadir kerana sedang mengawasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ada yang tidak hadir kerana masih berada di kampung.

Pada hari pertama, ceramah telah dibahagikan kepada dua slot di mana slot pertama dibuat oleh Penolong Kanan, Encik Addenan bin Osman. Ceramah beliau bertajuk : Kepimpinan Untuk Transformasi Pendidikan. Manakala slot kedua bertajuk: Pengurusan Kokurikulum Sekolah telahpun disampaikan oleh Encik Mohammad Zakaria bin Mohd Yusof, Penolong Kanan Kokurikulum STAR.

Hari kedua para guru telah dipecahkan mengikut kumpulan untuk menyiapkan senarai jawatankuasa dan tugas untuk tahun 2010. Para guru telah dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut bidang tugas pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Buat pertama kali tugasan yang selalunya dibuat oleh pihak pentadbiran diserahkan kepada guru-guru.

Sunday, November 22, 2009

MAJLIS PERSARAAN PUAN HAJAH UMAIMAH BT KASSIM




Puan Hajah Umaimah Bt Kassim, Guru Kanan Bahasa STAR telah menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai pendidikan pada 13 November 2009. Satu majlis persaraan telah diadakan bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan beliau sepanjang 30 tahun berada dalam dunia pendidikan. Beliau berkhidmat selama 14 tahun di STAR bermula sebagai guru biasa sehinggalah dilantik sebagai Guru Kanan Bahasa.

Dalam majlis tersebut, beliau telah diraikan oleh rakan-rakan guru dan para pelajar dengan persembahan-persembahan multimedia dan persembahan nyanyiain dan sajak. Dalam ucapan terakhirnya, beliau menasihatkan para pelajar supaya terus belajar bersungguh-sunggu bagi menaikkan nama sekolah yang tercinta ini. Dalam sebak, beliau turut merakamkan setinggi-inggi ucapan terima kasih buat rakan-rakan guru yang dianggapnya seperti keluarga sendiri sepanjang perkhidmatannya di STAR.

Blog Tentang Bintang ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan teriam kasih dan sekalung penghargaan buat Puan Hajah umaimah atas dedikasi beliau dalam melaksankan amanah dan tanggungjawab. Selamat bersara duhai ibu, sahabat, guru dan teman..Semoga berbahagia dalam meniti usia persaraan.

Dari daik pulang ke daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Taman lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
budi kak hajah kami tak lupa
sudah terpaku di dalam hati

AGM HOUSE



Mesyuarat agung Tahunan Rumah telah berlangsung pada 19 November 2009. Sebanyak 6 rumah di STAR telah mengadakan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) secara seretak bermula jam 9.00 pagi. Tujuan utama AGM ini diadakan adalah untuk memilih Ahli Jawatankuasa Rumah yang baru untuk menggalas tugas dan peranan bagi tahun 2010. AGM ini telah dihadiri oleh guru-guru rumah serta ahli-ahli rumah yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, 3 dan 4. Selain itu juga, AGM ini diadakan awal berbeza pada tahun-tahun sebelumnya bagi memberi peluang kepada Ahli Jawatankuasa Rumah untuk membuat persediaan tahun 2010. Berikut merupakan senarai House Captain baru yang telah dipilih melaui AGM tersebut :

1) Green : Habibullah Saharom
2) Yellow : Muhammad zulfikri Alias
3) White : Azrul Afif Abdul Manaf
4) Red : Umar Hakim bin Mohd Hasri
5) Black : Mohammad Khairuddin bin Kirzam
6) Blue : Afiq najmi bin Jamsari

Friday, November 20, 2009

PROGRAM PENYEMBELIHAN PUYUH



Panitia SIVIK dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan Kursus Sembelihan Puyuh sebagai salah satu program panitia. Seramai 200 orang pelajar tingkatan 1 dan 2 telah terlibat dengan program tersebut. Objektif penganjuran program adalah unutk memberi latihan sembilahan yang betul kepada para pelajar. Para pelajar telah diberi tunjuk ajar untuk proses penyembelihan yang betul oleh Ustaz Ahmad Tanusi dan Ustaz Saufi. Seterusnya semua pelajar diberikan seekor puyuh seorang untuk disembelih. Al-hamdulillah kebanyakan pelajar berjaya menyembelih puyuh dengan baik dan mengikut syarak. Namun begitu, terdapat segelintir puyuh yang menjadi bangkai kerana tidak disembelih mengikut syarak . Ada antaranya yang terputus kepala.
Sesungguhnya, penganjuran program sembelihan ini telah berjaya diadakan sebagai sebahagian proses P&P dan fardu Khifayah. Semoga program yang baik ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang!!